BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Pasukan kebangsaan bawah 19 tahun Indonesia mencatatkan kemenangan pertamanya pada kejohanan bola sepak Piala AFF di Yangon, Myanmar, petang semalam selepas membelasah skuad Negara Brunei Darussalam 10-0.
Indonesia dan Laos terikat seri 3-3 dalam perlawanan pertama. Dalam perlawanan kedua, pasukan merah dan putih tunduk kepada pasukan Vietnam 1-6.
Akhbar The Jakarta Post dipetik sebagai berkata Indonesia berpesta gol awal dengan menjaringkan enam gol pada separuh masa pertama.
Pada separuh kedua, pasukan Garuda yang rata-rata pemainnya masih muda mengekalkan tekanan ke atas pertahanan Brunei dan menjaringkan empat gol lagi sehinggalah wisel penamat ditiup.
Dengan keputusan itu, Indonesia menduduki tempat keempat dalam Kumpulan B, mengutip empat mata dari tiga perlawanan.
Indonesia kalah kepada Laos yang menduduki tempat ketiga dengan agregat gol, kerana kedua-duanya mengutip mata yang sama.
Vietnam berada di tempat teratas senarai peneraju walaupun ia mempunyai mata yang sama dengan Myanmar yang kalah dengan agregat gol. Pada perlawanan terakhir, Indonesia akan bertemu Myanmar pada esok di Pusat Latihan Belia di Yangon. (Sumber MEDIA PERMATA)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan