BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa. – Peminat bola sepak tanah air semestinya sudah lama tertunggu-tunggu dan sangat rindu untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan bola sepak negara beraksi dengan pasukan antarabangsa setelah negara Brunei Darussalam digantung penyertaan dari apa-apa kejohanan kendalian FIFA sejak beberapa tahun lalu.
Namun malam esok (Rabu) kerinduan itu pasti terubat apabila perlawanan amal bagi Tabung Mangsa Banjir Thailand dan Kemboja mempertemukan pasukan DPMM FC dengan CR United dari Thailand yang keduanya bertekad menjadikan perlawanan itu bermutu dan penuh aksi.
Sekalipun sekadar perlawanan amal, namun kedua pasukan menyifatkan perlawanan itu sangat penting untuk mengukur dan meningkatkan keupayaan pasukan masing-masing.
Penolong pengurus pasukan DPMM FC, Awang Ilham Haji Jais menyambut baik perlawanan berkenaan kerana ia menjadi medan penting untuk pasukannya sebagai perlawanan ‘panas badan’.
“Inilah perlawanan pertama pasukan DPMM FC dengan pasukan antarabangsa setelah giat menjalani latihan kecergasan. Apa yang diharapkan agar semua pemain mengambil menfaat dan iktibar dari perlawanan itu nanti”,jelasnya pada Sidang Media di NFABD House, di Berakas, petang tadi.
Ketua Jurulatih DPMM FC, Vjeran Simunic berkata seperti semua orang tahu, pasukan DPMM FC telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Liga S musim 2012 jesteru inilah peluang pemain-pemain mempamerkan mutu permainan masing-masing.
Katanya, ia juga menjadi ujian penting kepada pemain-pemain import yang baru diserapkan untuk membuktikan kehebatan dan langkah untuk menserasikan bersama pemain-pemain tempatan.
“Kita telah berkerja keras membina pasukan dan terus berusaha untuk memantapkannya, sedikit masa lagi kita perlu melihatkan hasilnya”,jelas Simunic.
Sementara itu, CR United pula mahu mempamerkan perlawanan yang menarik malah ia menganggap pasukan tuan rumah juga merupakan satu pasukan yang tepat untuk pasukan itu menimba pengelaman.
“Saya yakin pasukan tuan rumah memiliki kelebihan pemain-pemain tempatan dan gandingan tenaga import telah menjadikan pasukan ini yang terbaik”,jelas pemilik kelab CR Untied, Miti Tiyapariat
Tiket-tiket berharga $5.00 akan mula dijual di perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula 9 pagi esok (rabu).
Menurut penganjur perlawanan, penonton hanya akan masuk melalui pintu utama Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula pada 6 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan